Saturday, January 29, 2011

Pengajaran kejatuhan kerajaan Tunisia
Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZI
-
REVOLUSI rakyat mula melonjak di dunia Arab. Ia bermula di Tunisia dan kini menjalar di beberapa negara Arab. Revolusi massa itu menonjolkan kebangkitan rakyat, terutamanya generasi muda yang bangkit memprotes dan menentang pemerintahan negara masing-masing yang dilihat bermasalah.
-
Senario kebangkitan revolusi massa ini turut berlaku di Mesir, Jordan dan Yaman.
Di Tunisia, ia bermula dengan tindakan seorang sarjana yang bernama Bouazizi membakar diri sebagai lambang protes terhadap kerajaan yang gagal menyediakan peluang pekerjaan serta membaiki ekonomi Tunisia telah menjatuhkan kerajaan.
-
Selain itu, isu rasuah, penyelewengan dan nepotisme yang meluas di bawah pemerintahan Zine al- Abidine Ben Ali juga menjadi faktor kebangkitan revolusi massa di negara itu. Dalam jangka masa beberapa hari sahaja, kerajaan Tunisia pimpinan Zine al-Abidine Ben Ali telah dapat digulingkan pada 14 Januari lalu.
-
Kejatuhannya dalam masa yang singkat dan mudah ini melambangkan adanya kesedaran dan kekuatan yang padu di kalangan rakyatnya. Setelah Zine al- Abidine Ben Ali dan isterinya lari ke luar negara, Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi berusaha untuk menyegerakan susunan Kabinet baru.
-
Beliau sendiri berharap momentum gerakan massa akan terus bertahan bagi mengurangkan kekuatan dan tekanan pihak yang setia terhadap presiden yang digulingkan itu. Lanjutan daripada apa yang berlaku di Tunisia, kini kebangkitan rakyat yang serius dan bersungguh-sungguh merebak di Mesir, Yaman dan Jordan. Yang nyata, krisis politik di Tunisia wajar dijadikan pengajaran buat mana-mana kerajaan yang tidak menghiraukan kepentingan dan kebajikan rakyat.
-
Selain itu, apa yang berlaku di Tunisia juga melambangkan betapa kebangkitan generasi muda mempunyai tenaga yang cukup kuat dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan itu. Ini juga pernah berlaku di Indonesia dalam kes kejatuhan Suharto. Roh demokrasi yang terlalu disekat juga membuatkan penduduk di Tunisia merasa kecewa sehingga membenihkan keinginan untuk melakukan reformasi.
-
Justeru, pergolakan yang sedang berlaku di Tunisia dan beberapa negara Arab itu harus dijadikan iktibar, peringatan dan pengajaran kepada negara-negara lain, khususnya di negara-negara membangun di mana kerajaan yang memerintah sering dipersoalkan kewibawaannya sama ada dalam mengurus ekonomi, melaksanakan demokrasi dan juga persoalan mengenai integriti. - Utusan 29/1/2011

Monday, January 17, 2011


Kerja Iblis heret manusia ke kancah kekufuran
Oleh: Megatrambai
-
Ketika Allah menciptakan Adam A.S. telah wujud makhluk yang di kenali sebagai malaikat yang dicipta daripada nur (cahaya). Satu lagi makhluk Allah yang telah wujud ialah Azazil yang diciptakan daripada api. Azazil menjadi ketua bagi malaikat (Sayyidul Malaaikat) beribu tahun lamanya sebelum ia derhaka kepada Allah SWT.
-
Azazil berasal dari gabungan beberapa perkataan Ibrani, iaitu Aza dan Izzah yang bermaksud mulia dan dari perkataan El atau Eli yang bermaksud Allah. Dari perkataan-perkataan tersebut timbulnya nama Azazil atau Izazil yang bermaksud makhluk yang dimuliakan Allah. Pada asalnya Azazil adalah makhluk yang bersifat taat dan kuat beribadah sehingga dikatakan tidak ada penjuru bumi yang tidak terkena sujud Azazil kepada Allah SWT.
-
Sifat mulianya itu berubah apabila ia diperintahkan sujud kepada Adam A.S yang dicipta untuk dijadikan khalifah di bumi. Al-Quran sendiri merakamkan bahawa setelah Adam diciptakan maka Allah memerintahkan seluruh malaikat bersujud kepada Adam. Menurut mufasirin, sujud ini bukannya sujud menyembah tetapi sebagai lambang menghormati Adam A.S.
-
Mengapa Adam begitu mulia di sisi Allah? Kalau diikutkan logik maka Malaikat dan Azazil adalah makhluk yang lebih senior diciptakan sebelum Adam. Mereka juga diciptakan daripada unsur yang lebuh hebat berbanding Adam a.s. Sebenarnya Adam memiliki kelebihan, iaitu ia telah diberikan beberapa kelebihan ilmu. Justeru, inilah yang menyebabkan Allah memerintahkan seluruh malaikat bersujud kepadanya.
-
Seluruh malaikat akur kepada perintah Allah kecuali Azazil. Peristiwa ini telah mempamerkan watak sebenar Azazil. Rupa-rupanya Azazil di dalam dirinya tersemat watak atau tabiat kejinya, iaitu dengki (hasad) dan sombong (takabbur). Baginya, Adam hanyalah makhluk bertaraf rendah yang diciptakan dari tanah, sedangkan dia diciptakan dari api.
-
Sikapnya ini menyebabkan ia menjadi kufur seperti maksud firman Allah SWT: “Dia menolak dan menyombongkan diri, maka dia termasuk ke dalam golongan mereka yang kafir”(Al- Baqarah 34). Demikianlah bagaimana Azazil menjadi kufur kerana sifat memberontak dan membantah terhadap Allah SWT. Disebabkan sifatnya yang keji itulah maka binasalah kemuliaan dan ketinggiannya. Namanya turut ditukar menjadi Iblis atau syaitan laknatullah. Iblis bermaksud “terputus dari rahmat Allah”.
-
Dalam ayat lain disebutkan bahawa ” Iblis itu adalah sebahagian dari bangsa Jin…” (Al- Kahfi 51). Mereka berkeluarga dan beranak pinak seperti Ifrit (An- Naml 39) . Dalam legenda Yahudi ia digambarkan sebagai syaitan jantan yang berbadan sasa dan barwajah hodoh. Ketakburan Iblis ini terungkap dari pernyataannya sendiri yang mempersoalkan Allah SWT dengan katanya: “Engkau Ciptakan aku dari api”.
-
Hakikatnya ialah nama Iblis dan Ifrit adalah makhluk Allah yang sangat derhaka. Makhluk ini sering dirujuk sebagai sumber kejahatan. Sekiranya anak cucu Adam, iaitu manusia mempunyai sifat suka membangkang (Abaa) dan tabiat membangkang (Istakbaro) itu dilakukan karena kesombongan hatinya terhadap perintah Allah maka akan jatuhlah ia pada kekufuran.
Justeru, adalah amat malang bagi sesiapa yang sepanjang hidupnya berperangai persis seperti Iblis yang hidup sampai akhir hayat dengan tabiatnya suka membangkang dan menderhakai perintah Allah SWT.
-
Kederhakaan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia itu adalah disebabkan tergoda dan termakan bisikan Iblis atau syaitan yang telah pun menyimpan dendam serta bersumpah akan menggoda dan merayu Adam dan seluruh keturunannya, kecuali mereka yang hatinya bersih dan ikhlas dalam amal ibadah dan amal sholeh yang dilakukan.
-
Untuk melampiaskan dendam kesumatnya itu, maka iblis memohon kepada Allah agar kematiannya ditunda sampai hari kiamat. Iblis memohon: “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan”.(Al- Hijr 36/ Shod 79). Allah mengabulkan permintaan Iblis itu dengan firman Nya: “Sesungguhnya kamu termasuk golongan yang ditangguhkan (ajalnya). Sampai waktu yang telah dimaklumi, yakni hari kiamat” (AS- Shood 80 – 81).
-
Mereka yang bersifat seperti iblis dan berkekalan dengan sifat-sifat keingkarannya itu akan dihumban ke api neraka bersama-sama dengan Iblis laknatullah - ‘Naudzu billaahi mindzaalik’. Maksud firman Allah SWT: “Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan segala orang- orang yang mengikuti kamu di antara mereka semuanya” (Shood: 85).
-
Hari ini pelbagai kejahatan dilakukan oleh manusia tidak kira di Timur atau pun di Barat adalah berpunca daripada penentangannya terhadap perintah-perintah Allah SWT. Mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Manusia hari ini, di setiap penjuru dunia banyak melakukan pelbagai kemungkaran dan kejahatan. Paling mendukacitakan ialah apabila umat Islam sendiri ramai yang melakukan pelbagai bentuk kemungkaran.
-
Di negara kita sendiri, isu-isu kemungkaran seperti pergaulan bebas, zina, pembuangan bayi (kebanyakannya hasil perzinaan), minum arak, pemujuaan terhadap syaitan melalui pelbagai upacara, derhaka kepada ibu-bapa dan bermacam-macam lagi kejahatan kebanyakannya diunguli oleh umat Islam sendiri. Kesuburan amalan-amalan kemungkaran ini dijanakan lagi dengan pertumbuhan bebarapa industri mungkar seperi industri hiburan yang melalaikan (nyayian dan perfileman), industri pelacuran, perjudian, minuman keras dan sambutan-sambutan hari kemungkaran seperi hari valantine dan seumpamanya.
-
Malah, lebih jauh dari itu ada yang sanggup meninggalkan agama (murtad) disebabkan terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan godaan yang berpunca daripada hasutan iblis laknatullah, juga syaitan di kalangan jin dan manusia.
-
Kesimpulan, Iblis dan segala zuriatnya akan terus menerus tanpa mengenal jemu dan lelah akan menggoda, merayu dan memperdaya anak-anak Adam dari pelbagai sudut dengan pelbagai paparan keindahan dan keseronokan dunia yang dipersembahkan secara kreatif dan inovatif mengikut peredaran zaman.
-
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang hatinya bersih dan ikhlas dalam beramal serta mereka yang segera kembali bertaubat ke jalan Allah.

Tuesday, January 11, 2011


Transformasi ekonomi mula menampakkan kesan
Oleh Mohd. Ayop Abd Razid
-
SALAH satu ukuran penting bagi mengukur kemajuan sesebuah negara ialah pertumbuhan dan pencapaian ekonominya. Biasanya, pencapaian ekonomi sesebuah negara diukur melalui pendapatan negara.
-
Ia adalah satu ukuran nilai wang bagi barang-barang dan perkhidmatan dalam sesebuah negara melalui pencapaian seluruh kegiatan ekonomi dalam sesuatu tahun. Konsep ini juga dikenali sebagai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
-
Keseluruhannya, pertumbuhan dan pencapaian ekonomi Malaysia berada pada landasan yang positif pada 2010. Ia ekoran pemulihan ekonomi global yang kembali kukuh dan disokong oleh beberapa faktor. Antaranya ialah rangsangan fiskal yang mapan dan dasar monetari akomodatif di seluruh negara.
-
Selain itu, pertumbuhan yang kukuh di rantau Asia, terutama China dan India serta ekonomi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan negara-negara pengeluar minyak turut mempengaruhi pertumbuhan global.
-
Pada tahun lalu, KDNK negara kita mencapai sasaran 7.0 peratus. Ia menepati apa yang dijangkakan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada suku pertama, KDNK negara ialah 10.1 peratus, suku kedua 8.9 peratus dan suku ketiga 5.3 peratus. Pada keseluruhannya, pertumbuhan domestik dengan perbelanjaan sektor swasta yang meningkat telah menjadi unsur utama pencapaian ekonomi negara. Permintaan domestik tahun lalu dianggarkan meningkat sebanyak lima peratus.
-
Walaupun permintaan luar negara berada dalam aliran yang lembap tetapi kesan peningkatan pertumbuhan domestik menyebabkan pertumbuhan ekonomi kita terus berkembang.
-
Semua sektor ekonomi negara tumbuh positif kecuali sektor perlombongan. Fakta lain yang menunjukkan ekonomi kita berada pada kedudukan yang positif ialah peningkatan simpanan rizab negara.
-
Dari Januari hingga 15 November 2010, jumlah rizab negara kita adalah AS$105.8 bilion (RM326.455 bilion). Ketika krisis kewangan 1997/98, rizab negara hanya berjumlah AS$420 bilion (RM63 bilion).
-
Demikian juga mata wang kita mencatat prestasi terbaik yang mana ringgit mengakhiri 2010 dengan ditutup pada RM3.0880 berbanding satu dolar AS. Selain itu, Pelaburan Asing Langsung (FDI) yang jatuh teruk sebanyak 81 peratus pada 2009 mula kembali berkembang secara positif.
-
Pada 2009, FDI kita hanya bernilai RM5 bilion sahaja tetapi ia mula meningkat pada tahun lalu di mana FDI bagi Januari hingga September adalah RM17.1 bilion. FDI bagi suku pertama ialah RM5.1 bilion, suku kedua RM5.9 bilion dan suku ketiga RM6.2 bilion. Adalah dijangkakan keseluruhan aliran masuk FDI untuk tahun lalu mencecah RM20 bilion.
-
Peningkatan masuk FDI membuktikan bahawa beberapa dasar baru yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dasar liberalisasi, Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mula memberikan kesan positif terhadap pelaburan asing.
-
Tahun lalu sahaja, FDI global melebihi paras AS$1.2 trilion. Apa yang perlu ialah kerajaan haruslah berusaha lebih gigih untuk menarik lebih banyak aliran masuk modal asing pada tahun ini supaya senario persaingan menarik kemasukan FDI di kalangan negara-negara ASEAN akan lebih memihak kepada kita.
-
Sungguhpun begitu, kerajaan harus berhati-hati, mengawal dan mengurusnya dengan baik kerana pengalaman negara sebelum ini menunjukkan bahawa pergantungan keterlaluan terhadap FDI dalam pembentukan kasar domestik, terutama dalam pelaburan sektor pembuatan telah mengehadkan kemajuan keusahawanan domestik (Jomo K.S., 2010).
-
Usaha kerajaan untuk mengalih tumpuan daripada sektor pembuatan kepada sektor perkhidmatan serta pelancongan dijangka melonjak momentum pertumbuhan ekonomi negara. Demikian juga iltizam kerajaan melaksanakan Projek Permulaan (ETP) baru di bawah ETP akan banyak membantu pertumbuhan dan pencapaian ekonomi negara. Kita yakin ETP yang berasaskan 12 bidang ekonomi utama (baru) akan berjaya melonjakkan prestasi ekonomi negara.
-
Namun, kita harus faham bahawa setiap perubahan dalam pembangunan ekonomi negara yang melibatkan transformasi dari bentuk sedia ada kepada bentuk ekonomi baru memerlukan sekurang-kurangnya lima peringkat penting iaitu persediaan, pelancaran, pelaksanaan (penetapan perkembangan), kematangan dan lepas kematangan. Inilah yang sedang dilalui oleh program transformasi ekonomi yang diperkenalkan oleh Najib. Peringkat persediaan dan pelancaran ETP telah pun dilakukan. Kita kini berada dalam peringkat pelaksanaan.
-
Pada hemat saya, dalam proses ETP dan MBE mencapai kematangannya maka kerajaan masih harus bergantung kepada ekonomi sedia ada seperti FDI dan sektor pembuatan.
Namun, pergantungan terhadap sektor ini semakin dikecilkan, manakala pergantungan kepada bentuk-bentuk ekonomi baru seperti yang dirangka di bawah ETP terus diperhebat dan diperkukuhkan.
-
Pelaksanaan pelbagai projek dalam RMK-10 dan PTE akan merancakkan lagi beberapa sektor penting negara seperti sektor kewangan dan insurans, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan. Sektor pembinaan yang mengalami kelesuan beberapa tahun lalu dijangka kembali rancak apabila pelaksanaan pelbagai projek seperti yang disenaraikan dalam Bajet 2011, RMK-10 dan ETP mula dilaksanakan.
-
Selain itu, usaha membangun modal insan berkualiti terutama dalam menjayakan budaya inovasi dan kreativiti dalam penghasilan barangan dan perkhidmatan akan turut memberi kesan positif pertumbuhan ekonomi negara.
-
Dalam konteks ini, penubuhan Talent Corporation (perbadanan bakat) pada 1 Januari lalu dilihat mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja atau modal insan negara. Pada masa kini, negara mempunyai hanya 25 peratus tenaga pekerja mahir.
-
Justeru, diharapkan perbadanan bakat itu akan benar-benar dapat mencapai misinya untuk melahirkan lebih banyak tenaga kerja berpengetahuan tinggi. Ini penting kerana ia sekali gus akan dapat meningkatkan daya saing negara serta daya produktiviti negara. Kesan daripada peningkatan daya produktiviti itu nanti akan membolehkan syarikat-syarikat membayar gaji yang lebih tinggi setanding dengan peningkatan daya produktiviti yang dihasilkan.
-
Ia sekali gus akan memberikan harapan kepada kita untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, iaitu daripada AS$7000 (RM24,500) kepada AS$15000 (RM52,500) menjelang tahun 2020.
-
Kesimpulannya, pelaksanaan ETP telah menunjukkan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, GTP, penglibatan sektor swasta yang semakin meningkat, pembangunan modal insan yang telah mula dilaksanakan serta kesediaan rakyat untuk menerima dasar-dasar pembaharuan ekonomi akan dapat melonjakkan pencapaian negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. - Utusan 11/1/11

Monday, January 3, 2011

Transformasi selari tuntutan ekonomi

Oleh Mohd. Ayop Abd Razid

GLOBALISASI adalah ciri utama yang melatari dan mewarnai abad ke-21 ini. Apakah maksud globalisasi itu? Globalisasi adalah satu proses perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang kehidupan manusia kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat (ICT) merentasi sempadan 'geo-politik'.
-
"Maklumat di hujung jari" adalah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara.
-
Justeru, globalisasi menyebabkan batasan geografi dan sosial seolah-olah tidak lagi memiliki sempadan (borderless world).
-
Globalisasi yang paling menonjol adalah 'globalisasi ekonomi'. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menakrifkan globalisasi ekonomi sebagai "pergantungan ekonomi yang semakin berkembang antara negara melalui kenaikan jumlah dan kepelbagaian tukaran barangan dan perkhidmatan, pergerakan pelaburan antarabangsa bebas, dan peresapan teknologi yang lebih pesat dan meluas".
-
Istilah lain yang selalu digunakan untuk menggambarkan senario tersebut ialah 'liberalisasi ekonomi'. Kesan globalisasi ekonomi adalah besar sama ada kesan positif atau pun kesan negatifnya. Di antara kesan positif globalisasi ekonomi ialah wujudnya perdagangan bebas, pengaliran modal secara bebas, menggalakkan persaingan, perluasan pasaran, pemindahan teknologi, peningkatan kualiti produk dan berlakunya aliran buruh mahir dan separa mahir.
-
Kesan negatifnya pula termasuklah penghakisan dasar perlindungan, penguasaan syarikat multinasional (MNC), ancaman terhadap barangan (produk) dan perkhidmatan tempatan, ancaman ke atas industri kecil dan sederhana (IKS), kesukaran untuk mengawal aliran modal asing dan penghakisan kedaulatan ekonomi negara. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan bijaksana. Di negara kita, kerajaan sentiasa peka terhadap kesan negatif yang dicetuskan oleh globalisasi ekonomi. Justeru, kerajaan sentiasa merangka dasar-dasar perlindungan yang praktikal untuk melindungi industri tempatan, terutamanya Industri Kecil Sederhana (IKS) dan juga dasar membantu usahawan bumiputera.
-
Apa pun globalisasi ekonomi sudah menjadi ciri dominan pada abad ke-21 ini. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.
-
Bagi negara yang mahu terus maju, maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam pentas ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global. Proses ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak dengan mudah merentasi sempadan geopolitik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.
-
Dalam konteks ini, kepentingan saling bergantungan antara kawasan negara atau saling melengkapi menjadi ciri penting globalisasi ekonomi. Aspek saling kebergantungan ini merangkumi pelaburan, pasaran, pengeluaran, teknologi dan bekalan buruh. Dalam keadaan tertentu ia turut membabitkan beberapa aspek perkongsian seperti perkongsian sumber alam dan tenaga, perkongsian pasaran dan perdagangan, perkongsian modal, perkongsian teknologi dan kepakaran dan juga perkongsian buruh dan kerjasama dalam menjaga alam sekitar.
-
Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di era globalisasi ini juga mengutamakan elemen-elemen kreativiti dan inovasi yang tinggi. Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.
-
Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa. Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah bersifat dinamik. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
-
Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula diperlukan untuk melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana korporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang.
-
Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa. Justeru, pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan harus diberi keutamaan dalam setiap tahun belanjawan negara. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara.
-
Di pihak rakyat pula mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Rakyat harus peka dan menyambut baik dasar-dasar kerajaan yang menyediakan pelbagai program bagi meningkat pendidikan dan kemahiran mereka. Rakyat juga patut memahami bahawa tidak ada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Jika rakyat memahami perkara ini maka dengan mudahnya mereka akan dapat menerima transformasi ekonomi yang ingin dibawa oleh kerajaan.
-
Rangka pembangunan ekonomi yang selari dengan tuntutan ekonomi global penting bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif sifatnya. Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini.
-
Pelancaran Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara-negara maju.
-
Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencana agenda transformasi ekonomi. Pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan antarabangsa akan dapat menggerakkan negara ke satu tahap kecemerlangan yang dapat menjayakan misi nasional, iaitu ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. - Utusan 4/1/2011

Saturday, January 1, 2011

Beza 1Malaysia dan One Israel

Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-


Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa. Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin.
-
One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu.
-
Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka.
-
Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai 'Bangsa Pilihan Tuhan' (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor 'darah keturunan' sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan 'Yahweh' kepada mereka.
-
Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam 'Perjanjian Lama' (Old Testament) yang menyebut:
"Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir'aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8).
-
Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).
-
Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar 'penghapusan kaum' terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini.
-
Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum.
-
Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala "Pencapaian Diutamakan" membawa maksud kerajinan dan penghasilan.
-
Yang jelas kepada kita ialah, 1Malaysia menekankan konsep 'rakyat', bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. 'Rakyat' bermaksud 'warganegara' yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan.
-
Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: "Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar".
-
Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya 'umpama langit dengan bumi'. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep 'super race'.
-
Sebaliknya, gagasan 1Malaysia mendukung konsep 'rakyat' (warganegara). Ini bermakna 1Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan 'kepelbagaian' (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah).
-
Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk 'perkampungan' sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara. - Utusan 28/12/2010