Thursday, April 28, 2011

Kehidupan memburu keseronokan musnahkan generasi muda

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


REALITI kehidupan hari ini menunjukkan di mana-mana, termasuk di negara kita seperti wujud satu bentuk kekeliruan di kalangan generasi muda berkaitan pengamalan nilai baru yang menerjah kehidupan mereka. Proses pengaliran nilai baru ini berlaku begitu pantas melalui kepesatan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Anak muda yang tidak kukuh iman dan jati diri akan mudah menerima nilai kebebasan yang merosakkan kehidupan mereka.

-

Nilai kebebasan yang dibawa fahaman ’liberalisme’ di era globalisasi ini menjadikan generasi muda kita terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh merosak dan memusnahkan jati diri anak bangsa kita. Falsafah liberalisme mengutamakan kebebasan sepenuhnya kepada individu tanpa batasan.

-
Kehidupan memburu keseronokan atau hedonisme tanpa batasan yang kononnya dikaitkan dengan sikap keterbukaan dan kebebasan kini menjadi budaya yang membimbangkan kita. Apa tidaknya, pelbagai gejala sosial yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kesan daripada budaya hedonisme yang mampu menghancurkan akal budi anak muda kita.
-
Pelbagai masalah sosial yang berlaku itu menunjukkan bahawa generasi muda kita semakin ketandusan nilai kerohanian dan adab yang seharusnya mereka miliki selaku khalifah di muka bumi ini. Walaupun masalah sosial di kalangan generasi muda kita belum begitu parah, ia tetap membimbangkan kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan gejala negatif ini semakin berkembang, khususnya di bandar besar.

-

Pernah satu kajian dijalankan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haslinda Abdullah, pada 2009 terhadap sekumpulan remaja berisiko di sekitar Lembah Klang mendapati hampir separuh daripada 270 remaja yang disoal selidik terbabit dalam pelbagai aktiviti dilarang adat, budaya dan agama.

-

Sebenarnya, mereka yang lemah jati diri itu cenderung memiliki ‘minda terjajah’ atau ‘minda tertawan’. Individu yang memiliki minda tertawan ini akan menjadi kagum dengan nilai kemodenan dan kebebasan tanpa menilai buruk baiknya. Justeru, mereka mudah meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan yang dibawa fahaman yang boleh mengheret kehidupan mereka ke arah kehancuran.

-

Apa yang saya sebutkan ini tidak bermakna kita perlu menolak secara mutlak segala yang datang dari luar tamadun dan peradaban kita. Masyarakat wajar mengambil yang terbaik daripada globalisasi tetapi pada masa sama kita perlu mempertahankan nilai dan budaya bersifat positif yang selama ini menjadi elemen penting dalam pembentukan jati diri kita. Sebagai warga negara, kita perlu memupuk nilai positif yang dapat membantu secara dinamik proses pembinaan negara–bangsa yang mantap.

-

Asas pembinaan jati diri kita sudah ada iaitu Rukun Negara yang kukuh dengan nilai 1Malaysia. Justeru, Penghayatan terhadap Rukun Negara dan nilai 1Malaysia secara mantap dan penuh sedar mampu menjadi pendinding generasi muda kita. Jika kita amati dan hayati, kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu adalah sesuatu yang sangat dekat dengan tradisi dan budaya masyarakat kita. Pegangan yang kukuh terhadap lima prinsip Rukun Negara akan dapat memenuhi aspirasi 1Malaysia yang bertujuan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan seterusnya menjadikan negara ini maju menjelang 2020 nanti. - BH 20 April 2011

No comments: