Sunday, August 31, 2008


MENJENGUK INTIPATI BELANJAWAN 2009

Dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Ogos , 2008 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.

Tema Baget 2009: Kerajaan Prihatin.

Strategi - tiga strategi khusus iaitu:
menjamin kesejahteraan rakyat;
membangun modal insan berkualiti; dan
memperkukuh daya tahan negara.


Peruntukan baget: RM207.9 bilion ( naik 5.1 peratus dari tahun lalu)

Pecahann Baget 2009:
RM154.2 bilion untuk peruntukan mengurus
RM53.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.


Pecahan peruntukan pengurusan:
RM86.3 bilion (56.6 peratus) untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap;
RM38 bilion (emolumen);
RM26.5 bilion (perkhidmatan dan bekalan);
RM2.4 bilion (pembelian aset) dan,
RM1 bilion (perbelanjaan lain).

Pecahan peruntukan pembangunan:
RM27.8 bilion (sektor ekonomi:pertanian, perindustrian, perindustrian dan infrastruktur);
RM17.8 bilion (sektor sosial: pendidikan, kesihatan dan perumahan);
RM4.1 bilion (sektor keselamatan);
RM2.1 bilion (pentadbiran) dan,
RM2 bilion (simpanan luar jangka).


Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 6.3 peratus bagi suku kedua 2008, menjadikan pertumbuhan setengah tahun pertama tahun ini pada tahap 6.7 peratus.

Pelbagai langkah:

1. Berkaitan pembangunan:

Pembangunan Koridor Pertumbuhan

Iskandar Malaysia: bagi melaksanakan projek perkongsian sektor awam dan swasta (pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan industri kreatif) maka peruntukan tambahan RM300 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan.

Pelancongan
peruntukan RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka (dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta).

Pengangkutan
Kecekapan pengangkutan awam ditingkatkan melalui perbelanjaan RM35 bilion dari 2009 hingga 2014

kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk biayai perolehan aset bas dan rel

Mulai 15 September 2008 pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh dua tahun.


Kesihatan
Kadar bayaran insentif pakar perubatan (3,800 pegawai) dinaikkan perbelanjaan tambahan RM26 juta.

Kadar bayaran insentif pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak dinaikkan.

Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan dari RM20 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Jururawat, dari RM15 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic.


Membasmi kemiskinan
Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

Usaha berterusan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak dengan mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar (RM580 juta untuk Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak).


2. Berkaiatan percukaian:

Cukai pendapatan
Bagi pendapatan bercukai RM35,000 rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400.
(100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai).

Cukai jalan
Mulai 1 September 2008 cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol.

Barangan pengguna
Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60 peratus kepada 5 hingga 30 peratus.

Cukai rokok
Duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak 3 peratus sebarang, iaitu dari 15 sen kepada 18 sen . Bermakna cukai untuk sekotak rokok 20 batang meningkat sebanyak 60 sen.

Pengusaha hotel Sabah dan sarawak
Pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di Sabah dan Sarawak dikecualikan cukai pendapatan 100 peratus atau elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

Syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 30 peratus dalam bentuk permulaan dan pembiayaan peringkat awal.


3. Mengurang beban golongan tidak beranasib baik/berpendapatan rendah:

Pengecuali bil elektrik RM20
Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Nelayan dan petani
Peruntukan RM300 juta untuk membaiki taraf hidup:
RM180 juta h untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan
RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Pemansuhan duti import bagi baja dan racun perosak. Peruntukan RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu pesawah.

Bagi penternak ayam dan itik pula akan menerima elauan pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun


Orang Kurang Upaya (OKU)
Elaun RM150 sebulan kepada OKU. Murid OKU di sekolah pendidikan khas pula akan ditambah dari RM50 kepada RM150.

Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas


4. Jaringan keselamatan sosial

Menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

Menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

Menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara di Rumah Tunas Harapan daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan (mulai 1 September 2008)

Pesara kerajaan berpendapatan rendah yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.


5. Kakitangan kerajaan

Bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 (dua bayaran September dan Disember)

Pelanjutan tempoh pinjaman perumahan dari 25 tahun kepada 30 tahun (bagi pinjaman baru).

Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

Panel insurans pinjaman perumahan kerajaan dibuka kepada semua syarikat insurans yang layak (masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja).

Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.


6. Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Peruntukan RM5.4 bilion untuk tingkatkan keupayaan PDRM:
RM4.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM600 juta belanja pembangunan.

Peruntukan RM200 juta bagi pembinaan ibupejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara.

Semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan di beri Elaun Modal yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.


Kesimpulan:

Langkah-langkah ke arah memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin.

fokus kepada memperkukuh daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

--- megatrambai

Wednesday, August 27, 2008

Semangat nasionalisme pencetus kemerdekaan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


KEMERDEKAAN negara dicapai melalui gerakan menentang penjajah. Gerakan awal antipenjajah di Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak adalah bersifat setempat (kenegerian), bertujuan mempertahan status quo pemerintah dan pembesar Melayu.

Namun, satu ciri yang jelas gerakan antipenjajah awal ini ialah bangkitnya semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat tempatan yang tidak rela dijajah oleh kuasa asing. Gerakan anti-British dalam bentuk nasionalisme moden muncul pada awal abad ke-20.

Suntharalingam (1985) mendefinisikan nasionalisme sebagai satu fahaman yang matang membabitkan pengiktirafan terhadap kedaulatan rakyat. Ia adalah satu bentuk semangat kebangsaan yang melampaui batasan sempadan politik kenegerian dengan semangat ingin mengangkat kedudukan dan martabat bangsa kepada kedudukan yang maju.

Peringkat awal nasionalisme Melayu dipelopori golongan agama yang menerima pendidikan dari Asia Barat. Tasawur Islam menjadi asas utama golongan yang dikenali 'Kaum Muda' ini. Di antara tokohnya ialah Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari, Syeikh Mohd Salim Al-Khalali, Hj Abbas Mohd Taha dan Syed Syeikh Ahmad al-Hind.

Selain madrasah, majalah Al-Imam yang diterbitkan di Singapura (1906) menjadi wadah utama mereka menyebarkan idea pembaharuan (islah) dan pemurniaan Islam (tajdid) yang dipelopori Sheikh Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Ridha dari Asia Barat.

Sekitar 1920-an gerakan nasionalisme Melayu mula membuka wacana perbahasan berhubung soal politik, ekonomi, sosial dan agama. Kebanyakan tokoh nasionalis peringkat ini adalah lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (ditubuhkan 1922).

MPSI dianggap institusi awal yang menjadi pusat menentang penjajah British sehingga memaksa British menggunakan pendekatan 'pemutihan' dengan memindahkan tokoh akademiknya yang aktif seperti Cikgu Za'ba, Cikgu Abdul Hadi Hassan, Cikgu Harun Aminurrashid dan lain-lain.

Semangat anti-British turut disemarakkan oleh kemunculan kesatuan politik Melayu radikal iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1938. KMM bersifat antifeudal dan memperjuangkan gagasan Indonesia Raya.

Ia dianggap 'berfahaman kiri'. Di antara tokoh utamanya ialah Ibrahim Yaakob, Abdul Karim Rashid, Isa Mohamad dan Hassan Manan. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua lahir pula pelbagai persatuan yang memberi perhatian kepada matlamat politik, kebajikan dan kepentingan masyarakat Melayu.

Di antara yang dapat disebutkan di sini ialah Kesatuan Melayu Singapura (1926), Persatuan Melayu Perak (1937), Persatuan Melayu Selangor (1938), Persatuan Melayu Miri (1936) dan Persatuan Melayu Sarawak (1939). Antara persatuan yang paling berpengaruh ialah Persatuan Sahabat Pena Melayu (PASPAM) yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1934.

Selepas Perang Dunia Kedua, nasionalisme Melayu dikaitkan dengan penentangan terhadap Malayan Union yang akhirnya membawa kepada tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu (1957). Peranan golongan nasionalis Melayu, khususnya yang mendapat pendidikan Barat dan pendidikan Melayu mendominasi semangat nasionalisme selepas perang.

Kongres Melayu diadakan di Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 memutuskan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Umno lahir pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor.

Umno lahir hasil perpaduan dan semangat nasionalisme yang kuat di kalangan orang Melayu yang berdepan ancaman British. Selepas menjalankan pentadbiran British Military Administration (BMA) selama tujuh bulan, British ingin melaksanakan kerajaan awam pertama dikenali sebagai Malayan Union. Gagasan Malayan Union dibentangkan di House of Commons, London (1945), diluluskan oleh Parlimen England (1946) dan diisytiharkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada April 1946.

Malayan Union ditentang hebat orang Melayu kerana kandungan pelaksanaannya menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam akan tercabar, pemberian kerakyatan kaum imigran mengancam status quo orang Melayu dan beberapa perkara lain yang merugikan orang Melayu.

Akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Pelita menjadi saluran utama menyalurkan suara penentangan ini. Hanya golongan Melayu radikal yang menyokong Malayan Union seperti Parti Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Barisan Tani Malaya (Batas). Golongan yang dilabelkan berhaluan kiri ini menyokong kerana mereka antifeudal di samping terpengaruh dengan idea negara republik dan idea 'Melayu Raya' yang diperjuangkan oleh golongan radikal Indonesia.

Kemuncak penentangan Malayan Union ialah apabila orang Melayu dan Raja-Raja Melayu memulaukan majlis perisytiharan Malayan Union pada 1 April 1946. Reaksi tegas yang ditunjukkan oleh orang Melayu menyebabkan British terpaksa berunding dan akhirnya bersetuju untuk menarik balik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948) melalui perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

--- BH 27/8/08

Sunday, August 24, 2008


Pertumbuhan ekonomi kita masih 'sihat', stabil
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
SEGALA macam persoalan ekonomi global seperti kenaikan harga minyak, krisis makanan dunia dan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) memberi kesan kepada negara. Kita pernah diuji dengan beberapa krisis ekonomi bermula pada 1970-an ketika harga minyak dunia naik, 1987 kejatuhan teruk harga semua barang komoditi dan 1997/98 krisis kewangan serantau.
Yang perlu diakui ialah negara berjaya mengharungi semua cabaran itu. Sepanjang 50 tahun mentadbir negara, kerajaan sudah berjaya mempelbagai dan mengembangkan pasaran negara. Secara fundamentalnya ekonomi negara masih sihat dan stabil. Tahun ini jumlah dagangan negara dijangka kekal melepasi RM1 trilion.
Untuk lima bulan pertama (Januari-Mei) tahun ini, jumlah dagangan negara mencatat peningkatan 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Malah negara mencatat lebihan dagangan berturut-turut sejak November 1997.
Jumlah eksport negara meningkat kepada 14.6 peratus (RM268.2 bilion) sementara import negara negara meningkat 7.2 peratus (213.4 bilion). Selain keluaran hasil komoditi, pertumbuhan ekonomi negara banyak dibantu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama dagangan global negara.
Dalam sektor pembuatan negara berjaya meraih pelaburan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2008. Sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 30.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2007.
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) meramalkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia bagi tahun ini mengatasi nilai tahun lalu berjumlah RM33.4 bilion. Dalam empat bulan pertama tahun ini negara sudah mampu menarik pelaburan FDI berjumlah RM16.6 bilion terutama dari United Kingdom, Australia, Singapura, Taiwan dan Jerman.
Perlu dinyatakan bahawa Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, China dan Thailand masih kekal sebagai rakan kongsi dagangan utama negara yang menyumbang 53.2 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Langkah kerajaan memeterai beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) banyak membuka pasaran yang luas serta menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia jelas menggambarkan kebijaksanaan kerajaan mengambil peluang perubahan dan liberalisasi ekonomi global.
Liberalisasi perdagangan melalui FTA memacu pelaburan serta meningkatkan eksport negara ke pasaran antarabangsa. Ini sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Misalnya, di bawah FTA Asean-China, eksport Malaysia ke China dengan menggunakan 'sijil tempat asal' (COO) bertambah kepada RM3.8 bilion pada 2006 daripada RM1.3 bilion pada 2005. Asean dengan jumlah penduduknya melebihi 570 juta semakin menjadi kawasan pasaran penting untuk negara.
Sektor utama yang menjadi sasaran pelabur kita di rantau Asean ialah sektor pembuatan, perbankan dan perhotelan. Kita tidak nafikan bahawa kenaikan harga minyak dan krisis makanan global memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berada pada kadar lima peratus tahun ini. Untuk mencapai kedudukan negara maju menjelang 2020 negara memerlukan pertumbuhan ekonomi pada kadar enam peratus. Kita yakin, kewujudan Majlis Ekonomi pada 5 Ogos lalu mampu menjadi mekanisme penting dalam menggubal strategi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Majlis Ekonomi juga berperanan merangka satu jaringan keselamatan sosial yang tuntas bagi mengurang impak terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Meskipun persekitaran luaran memberikan cabaran, kita yakin dengan ada struktur ekonomi yang kukuh serta ekonomi yang pelbagai, memberi kekuatan kepada negara mengharungi cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Kesimpulannya, bukan mudah untuk kerajaan mengawal dan mengurus ekonomi negara yang sedang berdepan cabaran persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu. Ia tidak semudah seperti dilafazkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berdebat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Walaupun negara mewah dengan kepelbagaian sumber, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan lebihan pendapatan melalui 'pengelembungan' subsidi. Subsidi perlu dikawal dan dikecilkan supaya pendapatan negara benar-benar dapat disalurkan untuk pembangunan yang lebih bermanfaat.
---- BH 20/8/08

Thursday, August 14, 2008

Rakyat bijak menilai kerajaan prihatin

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KETIKA merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 Kedua di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu, Datuk Seri Najib Razak dalam ucap tama bertajuk 'Meneraju Melangkaui Sempadan: Pembaharuan di Sebalik Revolusi' memberi gambaran bahawa kerajaan di seluruh dunia mungkin berdepan bajet defisit kesan krisis minyak dan makanan global.

Realitinya, kenaikan harga minyak dan krisis makanan global mendorong kenaikan harga barang, sekali gus menyebabkan krisis inflasi global. Pada keseluruhannya kadar inflasi negara untuk 2007 adalah sekitar dua peratus, manakala Thailand pada kadar tiga peratus, Singapura (empat peratus), Indonesia (6.2 peratus), Filipina (tiga peratus), Korea Selatan (tiga peratus), China (enam peratus) dan Taiwan (empat peratus).

Pada Jun lalu kadar inflasi negara meningkat kesan kenaikan harga minyak domestik. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meramalkan inflasi Jun meningkat kepada tujuh peratus sementara Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meramalkan kadar inflasi pada Jun ialah 7.7 peratus, iaitu tertinggi sepanjang 27 tahun.

Kenaikan kadar inflasi memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Justeru, beberapa langkah dilaksanakan kerajaan untuk berdepan suasana ini. Terbaru ialah mewujudkan Majlis Ekonomi bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi. Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dianggotai sektor swasta.

Kewujudan Majlis Ekonomi mengingatkan kita ketika berlaku krisis kewangan serantau pada 1997/98 apabila kerajaan ketika itu membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang menjadi alat berkesan membina keyakinan masyarakat pedagang, pelabur dan rakyat. Justeru, kita berharap Majlis Ekonomi akan menjadi alat yang mampu memantau, mencadang dan menyelia pelaksanaan polisi serta program bagi mengatasi masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dengan berkesan.

Penstrukturan semula subsidi minyak adalah langkah awal kerajaan meringan bebanan peningkatan kos hidup rakyat. Ia bertujuan memastikan pemberian subsidi dapat dinikmati kumpulan sasar. Pemilik kenderaan menikmati subsidi langsung (rebat) antara RM50 hingga RM650. Selain itu, pengurangan cukai jalan sebanyak RM200 diberikan kepada kenderaan persendirian yang lebih daripada 2000cc dan RM50 untuk motosikal persendirian lebih daripada 250cc dan RM200 kepada pemilik dan pekerja perkapalan berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Kerajaan turut prihatin terhadap bekalan makanan negara. Pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan dengan peruntukan RM2.49 bilion membuktikan keprihatinan kerajaan. Melalui dasar ini, petani dan peladang turut menikmati subsidi kos input pertanian melalui peruntukan sebanyak RM513 juta sebagai satu insentif kepada mereka.

Bagi mereka yang mengusahakan sawit dan getah mampu menseimbangkan keadaan kehidupan mereka hasil lonjakan harga komoditi berkenaan. Perlu diingat bahawa sebelum ini kerajaan sudah memberi pinjaman buku teks percuma kepada semua lapisan masyarakat.

Melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), empat langkah bagi membantu sektor pembuatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaksanakan. Ia termasuk mengurangkan kadar pinjaman mudah untuk PKS serta meningkatkan had pembiayaan sehingga 90 peratus, membenarkan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) iaitu institusi kewangan di bawah Miti, meluaskan skop pembiayaannya meliputi semua sektor perindustrian.

Dua lagi langkah ialah membenarkan pekilang mendapatkan bayaran 10 peratus daripada jumlah keseluruhan geran Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) dan geran Smidec untuk pembelian mesin dan peralatan dibayar terus kepada pembekal mesin dan peralatan. Cara ini mengurang beban kewangan PKS.

Kerajaan juga memberikan perhatian kepada usaha membasmi kemiskinan. Justeru, usaha mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin menjadi keutamaan kerajaan termasuk mengurangkan kemiskinan antara kaum.

Kita yakin kerajaan berupaya mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi semasa sementara rakyat pula bijak menilai apa yang dilaksanakan kerajaan. Kita juga yakin Bajet 2009 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini akan menawarkan sesuatu yang dapat melegakan emosi dan minda rakyat yang sekarang ini tertekan dengan kenaikan kos hidup. Apa yang jelas ialah rakyat mahu pun kerajaan kini sedang membuat anjakan dan perubahan menghadapi situasi global. ---------- BH 13/8/2008

Monday, August 11, 2008

Demokrasi jamin kebebasan rakyat

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

'SEJAK sejarah Adam dan Hawa, alam berkembang berubah-ubah'. Ini adalah lirik lagu nyanyian berduet Allahyarham Abdullah Chik dan Saloma dalam filem Tunang Pak Dukun. Hakikatnya begitulah kerana perubahan adalah tabii dan realiti kehidupan. Kehidupan yang tidak berubah adalah kehidupan yang beku.
Sifat stagnasi atau kebekuan tidak selari dengan Sirah Nabawiyyah yang mempamerkan agenda perubahan menjadi misi utama Baginda. Baginda berusaha mengubah minda masyarakatnya sama ada dalam hal ketuhanan (akidah) hinggalah kepada perubahan duniawi.
Sirah Nabawiyyah juga menunjukkan untuk mengurus perubahan mestilah melalui kepemimpinan yang dinamik dan berwawasan. Di Madinah, Baginda bukan saja menegakkan akidah tauhid malah melaksanakan kehidupan bernegara untuk mengurus masyarakat dan perubahan.
Ibn Khaldun, sarjana sosiologi Islam tersohor dalam teori perubahannya melihat masyarakat sebagai suatu organisma yang memiliki potensi untuk berkembang dan berubah. Menurutnya, perubahan hanya dapat dilakukan melalui perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun.
Velfered Pareto, ahli sosiologi Itali merumuskan bahawa semua masyarakat diperintah oleh kumpulan elit iaitu satu kelompok yang terpilih daripada rakyat. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, pemimpin dipilih melalui proses pilihan raya.
Dalam Islam, golongan yang dilantik mengurus kehidupan rakyat dipanggil ulil Amri. Ulil Amri bermaksud orang yang mempunyai urusan atau memegang tampuk kepemimpinan masyarakat. Kerajaan yang dilantik mestilah menyediakan perancangan pembangunan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan perubahan sesuai dengan perkembangan semasa.
Pemimpin mestilah berupaya menyediakan misi, visi dan wawasan pembangunan yang terarah. Pemimpin yang bertanggungjawab tidak banyak beretorik, sebaliknya ia fokus melaksanakan apa yang dirangka dan dirancang.
Pemimpin tulen akan sentiasa komited mengurus dan melaksanakan dasar serta memastikan undang-undang dilaksanakan dengan adil dan saksama. 'Pakaian' pemimpin ialah adil dan amanah. Justeru, pemimpin hendaklah menghayati bahawa kuasa yang dimilikinya adalah amanah Allah SWT.
Pemimpin yang melaksanakan amanah mesti berlaku adil dalam mengurus dan mentadbir masyarakat. Dalam prinsip keadilan (al-adl), pemerintah harus adil dalam memberikan hak-hak individu (rakyat). Ia perlu bersifat seimbang (wasath) dalam melaksanakan sesuatu dasar dan sesuatu hukum.
Pemerintah juga perlu melaksanakan beberapa prinsip utama seperti prinsip syura, prinsip persamaan (al-musawah), prinsip pengawasan rakyat (mua'radlah) dan prinsip kebebasan (al-hurriyah). Semua prinsip itu mesti diutamakan supaya perubahan yang dilaksanakan tidak mengetepikan asas manusiawi.
Dalam membangun dan memajukan negara, ulil amri wajib mengutamakan amalan syura atau bermusyawarah bagi mendapatkan sesuatu yang terbaik demi kepentingan rakyat. Jumhur ulama berpendapat maksud ayat: "bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu" (Ali-Imran:159) adalah satu bentuk kewajipan bagi pemerintah melaksanakannya.
Dalam prinsip persamaan (al-musawah) pula masyarakat perlu dibangunkan di atas dasar saling bantu membantu dan tolong menolong (takaful al-ijtim'). Dalam prinsip kebebasan (al-hurriyah), Islam memberikan kebebasan individu dan kebebasan masyarakat yang merangkumi kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan, berorganisasi dan berpolitik.
Negara kita mempunyai semua ciri itu. Perlembagaan negara mengandungi peruntukan yang jelas mengenai hak asasi rakyat tanpa mengira kaum. Prinsip perkongsian kuasa yang membabitkan pelbagai kaum seperti diamalkan selama ini adalah selari dengan konsep musyawarah.
Dari segi kehidupan sosial, kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat hidup dalam suasana harmoni, bertolak ansur dan saling membantu. Sifat marhamah (kasih-sayang) dengan menolak perhambaan, kezaliman, permusuhan, diskriminasi dan ketidakadilan dijadikan amalan hidup masyarakat kita.
Melalui sistem demokrasi, rakyat diberi hak memilih parti yang diyakini dapat membentuk kerajaan yang adil serta mampu membawa perubahan dan kemajuan. Jika rakyat berasakan kerajaan dipilih gagal melaksanakan keadilan dan kesejahteraan, maka mereka boleh mengubahnya melalui kuasa undi bukannya melalui demonstrasi jalanan atau sebarang bentuk rampasan kuasa. Hakikatnya, asas dan amalan kepemimpinan negara masih bersendikan nilai dan prinsip agama dan moral. ---- BH 6/8/08

Sunday, August 3, 2008

The Seven Sisters' boneka Amerika

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

SELEPAS berakhirnya Perang Dunia Kedua, minyak mula menjadi idaman kuasa Barat dan kemudian muncul tujuh syarikat minyak antarabangsa. Tujuh syarikat terbabit ialah Oil of New Jersey, Royal Dutch Shell, Anglo Persian Oil Company (BP), Standard Oil of California (Chevron), Standard Oil of New York (Exxon Mobil), Gulf Oil dan Texas Oil Company (Texaco).

Pakar tenaga Itali, Enrico Mattei menamakan ketujuh-tujuh syarikat gergasi minyak itu sebagai 'The Seven Sisters'.

Majalah perniagaan terkemuka Fortune dalam salah satu edisi keluarannya pada 1973 menyatakan 'The Seven Sisters' dikuasai pemodal Yahudi. Berpuluh tahun sebelum lahirnya Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (Opec), mereka mendominasi sebanyak 40 peratus industri pengeluaran minyak dunia.

Kelahiran Opec pada 1960 memberikan saingan kepada 'The Seven Sisters' kerana negara Arab secara beransur-ansur mula berupaya mengurus dan mengendalikan pengeluaran minyak mereka sendiri.

Perkembangan ini pastinya tidak disenangi kuasa Barat, terutama Amerika Syarikat (AS). AS yang mula muncul sebagai kuasa unipolar selepas runtuhnya Soviet Union (ideologi komunis) mula menjadi rakus dan gelojoh untuk menguasai negara Teluk, kawasan pengeluaran minyak dunia.

Ini selari dengan 'doktrin minyak' AS sejak berlakunya perang Arab-Israel 1973. Berikutan sekatan minyak Arab ketika itu, mendorong AS menjadikan minyak sebagai perancangan strategik dasar luarnya.

Justeru, tidak hairanlah AS sering memberikan tekanan kepada Opec dan Arab Saudi terutama dalam pengeluaran minyak. Walaupun politik Arab Saudi dikatakan berkiblat AS, dalam hal pengeluaran minyak, negara itu tidak mudah tunduk kepada tuntutan AS.

Arab Saudi pada awal penemuan minyaknya di wilayah al-Hasa tidak mempunyai kepakaran teknologi dan pengurusan dalam pengeluaran minyak. Justeru, negara berkenaan memberikan konsesi mengusahakan industri minyaknya kepada dua syarikat minyak dari AS iaitu Standard Oil Company of California (1933) dan Texas Oil Company (1934).

Pada 1945 kedua-dua syarikat minyak berkenaan bergabung dan dikenali sebagai Caltex. Selepas itu ia bergabung dengan badan yang mengurus hal-ehwal minyak Arab Saudi. Gabungan ini dikenali sebagai Arabian American Oil Company (Aramco) yang bertanggungjawab mengurus industri minyak Arab Saudi sehingga kini.

Kemunculan tujuh syarikat gergasi baru iaitu Aramco (Arab Saudi), NIOC (Iran) Gazprom (Russia), PDVSA (Venezuela), CNPC (China), Petrobras (Brazil) dan Petronas (Malaysia) memberi cabaran kepada 'The Seven Sisters'.

The Financial Times (2007) menulis mengenai kebangkitan syarikat gergasi minyak baru ini dengan tajuk The New Seven Sisters. Namun, The New York Times (Jun 2008) melaporkan bahawa Shell, BP, Exxon Mobil, Total dan Chevron masih tetap bertenaga mendominasi pengeluaran minyak dunia.

The New York Times menganggap kelima-lima syarikat asal itu sebagai pewaris The Seven Sisters. Laporan 'The Role of Asian Oil Companies' menyatakan penguasaan pemain baru dalam industri minyak global masih kecil (sekitar dua peratus) daripada pengeluaran minyak global pada 2005-2006.

Positifnya, Badan Tenaga Antarabangsa (EIA) meramalkan 40 tahun akan datang, mereka dijangka mampu menyaingi syarikat gergasi minyak dunia yang asal.

'The Seven Sisters' menolak apa yang dinamakan sebagai nasionalisme minyak Iraq pada era Saddam Hussein. Serangan AS ke atas Iraq pada 2003 adalah usaha negara berwatak 'koboi' itu menguasai pengeluaran minyak dunia dan sekali gus memastikan 'The Seven Sisters' terus mendominasi pengeluaran minyak.

AS membohongi dunia kononnya Iraq memiliki senjata pemusnah besar (WMD). Kini, tuduhan cuba dikenakan ke atas Iran dan ketegangan hubungan AS-Iran semakin memuncak.

Amat jelas, selepas mengorbankan ratusan ribu nyawa penduduk Iraq, AS mula menguasai kawasan telaga minyak dan gas Iraq. 'The Seven Sisters' akan menjadi 'anak emas' menandatangani transaksi pengeluaran minyak bernilai ratusan juta dolar untuk kerja mengeksplorasi minyak Iraq, terutama di Basra yang mampu mengeluarkan dua juta tong minyak sehari.

Apakah janji bakal calon Presiden AS, Barack Obama untuk membawa keluar semua tenteranya dari Iraq menjelang 2010 akan turut mengembalikan kedaulatan ekonomi Iraq, khususnya dalam penguasaan minyak? Rasanya sukar bagi AS berbuat demikian kerana 'doktrin minyak' menjadi sebahagian daripada dasar luarnya. ----------- BH 30/7/08